Subscribe to our newsletter
| Pasukan RazakSAT Selamat Tiba ke Tanahair Setelah Satelit di Orbit NEqo |
|
Press Release
20 Julai 2009, Sepang – YB Tuan Haji Fadillah Yusof, Timbalan Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diiringi oleh Ketua Setiausaha, YBhg Datin Madinah Mohamad dan Timbalan Ketua Setiausaha YBhg Dato Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini untuk menyambut ketibaan pasukan Malaysia dari Guam dan Kwajalein selepas berjaya melancarkan satelit remote sensing Malaysia yang pertama ke orbit Hampir Khatulistiwa (NeqO) pada 14 Julai yang lalu. Pasukan tersebut yang diketuai oleh Y. Bhg Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad, Ketua Pegawai Eksekutif, Astronautic Technology (M) Sdn Bhd atau ATSB® berkata, “Ini merupakan detik yang bersejarah kepada ATSB® dan negara apabila RazakSAT® berjaya dilancarkan dengan jayanya ke orbit yang unik untuk Malaysia selepas mengharungi pelbagai cabaran semasa proses pembangunan dan fasa kempen pelancaran. Ianya membuktikan bahawa kepakaran tempatan juga mampu untuk melakarkan kejayaan di angkasa serta peningkatan pencapaian era baru di dalam dimensi industri teknologi angkasa.” RazakSAT® dengan berat 180kg mengelilingi bumi sehingga 14 kali dan mampu memperolehi imej atau imbasan sebanyak 6 kali setiap hari. Ketika ini, ianya di dalam fasa pelaksanaan dan operasi awal (LEOP) selama 3 bulan. Perisian pengoperasian dan panel suria telah berjaya diaktifkan. Jurutera ATSB® LEOP telah pengurusan operasi satelit semenjak ianya dilancarkan di Pusat Angkasa Negara yang terletak di Banting, Selangor dan dan Stesen bumi Agensi Remote Sensing Malaysia di Temerloh bagi tujuan memuat turun (download) imej dari satelit RazakSAT®. Peluang yang sama dapat diperolehi untuk Stesen bumi yang lain di dalam lingkungan orbit hampir Khatulistiwa. Selepas LEOP dan proses commissioning berjaya dilaksanakan dengan sempurna, ATSB® akan menyerahkan urusan operasi kepada jurutera Pusat Angkasa Negara dan Remote Sensing Malaysia.
Sebelum pelancaran, RazakSAT® telah melalui pelbagai peringkat ujian, penambahbaikan, perisian softwer dan kalibrasi untuk memastikan ianya berada pada tahap nominal menerusi kenderaan pelancar SpaceX Falcon 1. MENGENAI ATSB® Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB®) telah ditubuhkan untuk menaikkan nama Malaysia dalam industri teknologi kapalangkasa. ATSB® menekankan pengkhususan pada kajiselidik dan pembangunan di dalam bidang rekaan dan pembangunan sistem kelayakan angkasa yang menggunakan teknologi maju dan inovatif. Sebagai perintis dan pemimpin dalam bidang satelit kecil di Malaysia, ATSB® telah mencapai pelbagai kejayaan dalam masa yang singkat. Ini termasuk membangun, membina, melancar dan mengoperasi satelit-mikro Malaysia yang pertama, TiungSAT-1. Pengalaman dan pengetahuan tersebut telah digunapakai untuk pembangunan satelit-mikro kedua Malaysia, RazakSAT® dan juga memangkin program intensif teknologi tinggi di Malaysia. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web syarikat di www.atsb.my. |