|
SIARAN MEDIA KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI BERHUBUNG PENEMUAN AUDIT DI DALAM LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2010
PUTRAJAYA, 1 NOVEMBER 2011 :Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ingin merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengenai kelemahan pengurusan kewangan beberapa buah Kementerian yang telah dipetik oleh akhbar-akhbar tempatan pada 25 Oktober 2011. Jabatan dan agensi yang terlibat di bawah seliaan MOSTI yang mendapat perhatian akhbar adalah Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB), Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).
Masalah yang dibangkitkan adalah mengenai ketepatan imej cerapan satelit RazakSAT yang tersasar sejauh 37km, peralatan elektronik untuk kegunaan makmal Assembly, Integration and Test (AIT) yang disimpan di Pusat Angkasa Negara dan kehilangan pelampung tsunami di perairan negara.
MOSTI ingin menjelaskan kepada media berhubung isu-isu ini seperti berikut:-
i. Ketepatan Imej Cerapan Satelit RazakSAT
RazakSAT, satu projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dilancar pada 14 Julai 2009 sebagai satelit remote sensing pertama di dunia yang berada di Near Equatorial Orbit. Imej pertama telah diterima dari RazakSAT pada 20 Julai 2009, dan sepanjang tempoh operasinya, RazakSAT telah berjaya mencerap 1,328 imej yang mencakupi keluasan 20km x 20km termasuk 300 imej yang digunakan sebagai kajian oleh pelbagai institusi di Malaysia.
Projek satelit RazakSAT adalah projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan bukan merupakan projek komersial. Semasa pengoperasian RazakSAT, banyak penambahbaikan teknikal mengenai imej telah berjaya dilaksanakan. Di samping berusaha meningkatkan tahap komunikasi dengan satelit RazakSAT, ATSB telah membuat pembetulan teknikal dengan menambahbaik imej satelit menjadi lebih jelas dan julat anjakan telah berjaya dikurangkan daripada anjakan awal sebanyak 37km kepada 2.3km.
ii. Pengurusan Perolehan Peralatan Makmal Assembly, Integration and Test (AIT) di Pusat Angkasa Negara
Projek ini melibatkan dua tender iaitu (i) pembinaan makmal AIT; dan (ii) perolehan peralatan AIT. Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) telah membuat perancangan untuk memastikan pembinaan makmal AIT dan perolehan peralatan AIT dijalankan secara seiring. Ini kerana kebanyakan peralatan perlu dipasang seiring dengan pembinaan makmal disebabkan saiz peralatan yang besar ataupun spesifikasi teknikal peralatan berkenaan. Walau bagaimanapun, kelewatan proses tender pembinaan makmal menyebabkan peralatan yang diterima mengikut jadual terpaksa disimpan di tempat pengstoran.
Pemasangan dan integrasi untuk peralatan-peralatan telah dimulakan mengikut jadual di bawah:
• Alignment Measurement System: 21 September 2011 • Mass Properties Measurement System: 10 Oktober 2011 • Reverberation Acoustic Test Facility: 26 September 2011 • Vibration Test System: 22 Disember 2010 • Thermal Vacuum Chamber : 18 Oktober 2010
iii. Kehilangan Pelampung Tsunami di Perairan Negara
Pelampung tsunami pertama yang asalnya perlu dipasang di Pulau Perak, telah dipindah lokasi ke Pulau Rondo, Indonesia bagi membolehkan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh masa sekitar dua (2) jam dari tsunami dikesan berbanding 15 minit jika dipasang di Pulau Perak. Syarikat Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB), selaku kontraktor telah memasang pelampung tsunami di Pulau Rondo pada 30 Disember 2005. Pelampung tsunami didapati hilang dari lokasi pemasangan pada bulan Februari 2010. Punca kehilangan pelampung ialah sistem mooring (sauh) yang disyaki dirosakkan (vandalized/tampered) dan terputus kerana arus dasar laut yang terlalu deras yang mengakibatkan pelampung tersebut hanyut.
Pelampung tsunami kedua telah dipasang di Pulau Layang-Layang, Sabah pada 7 Mac 2006. Pelampung tsunami ini juga didapati telah hilang pada 8 Mei 2006. ATSB telah berjaya menuntut ganti rugi daripada syarikat insurans dan telah memasang pelampung baru pada 13 Ogos 2006.
Pelampung tsunami ketiga telah dipasang di Pulau Sipadan, Sabah pada 20 Ogos 2010 dan masih beroperasi.
MOSTI ingin menjelaskan bahawa semua aktiviti, khususnya yang melibatkan perbelanjaan dana awam di peringkat Kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikawalselia dengan prosedur dan peraturan kewangan semasa yang menitikberatkan kredibiliti yang tinggi. Sukacita dimaklumkan juga bahawa MOSTI telah dianugerahkan penarafan Empat Bintang (4 Star) dalam Pengurusan Kewangan Akauntabiliti Indeks 2010 oleh Jabatan Audit Negara.
|